Followers

Tuesday, November 10, 2009

Ingatan bagi pelupa: Bakhil, marah dan mabuk mainan syaitan sesatkan manusia

WAHB bin Munnabbih berkata, "Ada seorang ahli ibadat Bani Israel akan disesatkan oleh syaitan tetapi gagal. Pada suatu hari ia keluar kerana ada urusan lalu diikuti syaitan untuk mencari kesempatan menyesatkan alim itu. Syaitan berusaha menaikkan syahwat dan kemarahannya tetapi kecewa. Lalu syaitan menimbulkan ketakutannya maka dibayangkan kepadanya seolah-olah batu besar dari bukit akan menimpanya tetapi alim itu selalu berzikir kepada Allah sehingga terhindar. Adakalanya syaitan menyerupai singa dan binatang buas tetapi semua itu tidak dihiraukan dan ada kalanya syaitan menyerupai ular yang melingkari kakinya ketika sembahyang. Ketika sujud ular itu membuka mulutnya seakan-akan hendak menelan kepalanya maka ia hanya menyingkirkan dengan tangannya sampai dapat bersujud. Ketika selesai sembahyang syaitan datang kepadanya dan berkata: “Aku sudah usaha untuk menyesatkan kamu tetapi tidak dapat, dan kini saya akan berkawan saja denganmu. Jawabnya: “Sedang ketika kau menakutkan aku, alhamdulillah aku tidak takut, kini saya tidak ingin bersahabat dengan engkau.”


Lalu syaitan berkata: “Apakah kau tidak tahu bagaimana keadaan keluargamu sepeninggalan kamu? Jawabnya, “Aku sudah mati sebelum mereka.” Syaitan berkata: “Adakah kamu ingin bertanya bagaimana aku dapat menyesatkan anak Adam? Jawabnya, “Bagaimana kamu menyesatkan anak Adam? Jawab syaitan dengan tiga macam; Bakhil (kikir) dan marah dan mabuk. Sebab manusia jika bakhil kami bayangkan kepadanya bahawa hartanya sangat sedikit sehingga ia sayang untuk mengeluarkan untuk kewajipannya. Apabila ia marah, kami akan mempermainkan ia sebagai anak kecil bermain bola, meskipun ia dapat menghidupkan orang mati dengan doanya, kami tetap tidak patah harapan untuk dapat menyesatkannya, sebab ia membangun dan kami yang merobohkan dengan satu kalimat saja. Demikian pula jika seorang mabuk maka kami akan mendorongnya dengan mudah kepada segala kejahatan sebagaimana kambing ditarik sesuka kami. Di sini syaitan menyatakan bahawa orang yang marah jatuh di tangan syaitan bagaikan bola di tangan anak-anak, kerana itu seorang harus sabar supaya tidak jatuh dalam tawanan syaitan dan tidak sampai gugur dalam perbuatannya.
Sumber Tanbihul Ghafilin

No comments: