Followers

Monday, June 13, 2011

Dari Meja Raihanah Rozaimi

Assalamualaikum wbt.


Salam perpaduan mahasiswa/i UniSZA, salam kesejagatan, salam sayang pada semua. Alhamdulillah, pada hari ini saya mempunyai kelapangan untuk mencoretkan sesuatu yang hampir dua bulan perancangannya untuk dipersembahkan pada semua. Untuk pengetahuan mahasiswa/i semua, MPP UniSZA giat melakukan tugas-tugas ke arah kebajikan mahasiswa/i selain cuba menaikkan nama universiti diperingkat malaysia dan insyaAllah antarabangsa. Beberapa isu-isu kebajikan yang “panas” sejak beberapa minggu yang lalu; antaranya isu air, elektrik, isu merit, dan terbaru kebanyakan mahasiswa/i tidak dapat duduk didalam kampus dan terpaksa duduk diluar kampus disebabkan kapasiti mahasiswa UniSZA menjangkau enam ribu lebih. Dari pihak MPP, kami juga berpendapat sistem merit yang diperkenalkan tidak diperincikan dari pihak pengurusan. Kekalutan berlaku apabila merit perlu diisi pada “musim peperiksaan” dan perlu mengambil tandatangan pegawai-pegawai tertentu untuk mengesahkan merit. Dari pihak mahasiswa/i yang cakna, mereka pantas melakukan tugasan tersebut dan mereka yang leka terus mengabaikan tanggungjawab individu sendiri. Walaupun begitu, pada pandangan saya kesalahan tersebut tidak harus diletakkan seratus peratus pada mahasiswa/i UniSZA kerana proses pemberitahuan dan pengaplikasian tidak selaras. Kriteria merit dan cara “pointer” merit diperoleh juga tidak diperincikan .MPP menerima impak besar, apabila mahasiswa/i yang tidak mendapat tempat di asrama sedikit sebanyak mengecam kredibiliti MPP. Lantaran itu, kami di pihak MPP terus menyuarakan suara mahasiswa ke peringkat “atasan” untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu ini. Antara solusi yang kami peroleh ialah memberitahu kepada pihak mahasiswa/i untuk menulis surat rayuan permohonan asrama. Alhamdulillah beberapa surat rayuan telah diproses dan diberikan bilik penginapan di asrama. Baki selebihnya akan diproses selepas kemasukan diploma(bagi diploma) dan ijazah( bagi ijazah). Kegusaran dipihak MPP timbul pada mahasiswa/i diploma. Hal ini kerana keputusan penginapan asrama terlalu hampir dengan kemasukan mahasiswa/i diploma. Bagi mereka yang tidak mendapat tempat di asrama, bukan satu proses yang mudah untuk mencari tempat tinggal diluar dalam masa terdekat dan pihak pengurusan unisza sendiri tidak memberikan lokasi-lokasi spesifik untuk mahasiswa/i menyewa. Setidak-tidaknya mahasiswa/i ijazah masih mempunyai masa yang lama untuk merancang penempatan mereka. Justeru, kami ajukan perkara ini pada pihak atasan dan memohon pihak asrama menyediakan tempat sementara bagi mahasiswa/i ini. Dari segi dasarnya mereka bersetuju, namun tiada hebahan yang dilakukan. Justeru kami memohon pada mahasiswa/i yang mempunyai masalah terus berhubung pada pihak asrama.


Isu pokok mengapa saya mencuri sedikit masa mencoretkan sesuatu di “blog” MPP ini ialah kegusaran melihat budaya mahasiswi UniSZA hari ini. Sudah beberapa universiti kami lawati dan sempat bertukar pandangan dengan beberapa orang MPP dari universiti yang berlainan. Universiti Sultan Zainal Abidin terkenal dengan identiti “KUSZA”. Hal ini bukan bermaksud kita perlu pelihara seratus peratus identiti itu, kerana kita kini ialah UniSZA. Namun, perkara asas dan tapak yang perlu dipelihara ialah pergaulan bebas didalam universiti ini. Sejak kebelakangan ini, mahasiswi UniSZA sudak berani duduk dihadapan blok dengan berseluar pendek dan tidak bertudung. Dan baru semalam saya terserempak dengan siswi yang yang memakai selendang tidak berpin ke cafe. Memang tidak tertakluk dalam peraturan universiti sultan zainal abidin pelajar wajib untuk memakai tudung, tetapi budaya baik ini telah lama bersemadi di nadi mahasiswa/i UniSZA. Kenapa kita perlu menolak perkara yang baik?. Mungkin ada yang mengatakan kenapa perlu hipokrit dengan diri sendiri? Aku memang “freehair”, kalau kejap pakai kejap buka sama je berdosa.Dosa aku, aku yang tanggung, bukan kau!... itu antara dialog lazim yang diperkatakan oleh siswi pada masa kini. Namun sebagai seorang yang telah diberikan amanah untuk menjaga perihal siswi, saya merasakan tanggungjawab untuk menegur siswi-siswi dan anda juga boleh menegur saya jika saya melakukan kesalahan kerana kita bukanlah manusia sempurna. Saya juga beberapa kali ditegur, namun saya positifkan minda kerana mereka menegur untuk membuktikan betapa sayangnya mereka pada kaum sejenis. Tidak salah kita merubah diri kita ke arah kebaikan walaupun perkara itu amat berat untuk dilaksanakan. Kemasukan anda ke UniSZA ini merupakan antara hidayah yang diberikan oleh Allah untuk menjadi insan yang lebih baik. Suka saya kongsikan sedikit cerita mengenai pengalaman pertama berada di UniSZA. UniSZA bukan pilihan pertama hampir kebanyakan mahasiswa/i begitu juga saya, namun setibanya saya disini, saya dapat rasakan satu aura ketenangan dan suasana islam yang tersebar luas. Situasi dengan kampung halaman di Sabah banyak bezanya jika dibandingkan disini. Sedikit sebanyak UniSZA mengubah diri saya kearah yang lebih baik walaupun hanya sedikit perubahan. Dahulu saya masih dapat melihat kakak “senior” menegur cara pemakaian siswi; ketat, berlengan pendek, dan tidak memakai tudung. Tetapi sejak akhir-akhir ini budaya itu agak kurang, lebih-lebih lagi dengan pengasingan akademik diploma dan ijazah. Harapan yang menggunung dari saya agar budaya tegur menegur ini dapat dihidupkan semula. Jujur saya katakan, saya bukanlah insan yang paling berhak untuk menegur dalam hal ini, tetapi atas dasar tanggungjawab sesama islam dan ingin mengekalkan sesuatu yang boleh merubah mahasiswi menjadi insan yang lebih baik saya tampil mencoretkan sesuatu didalam “blog” ini. Memang bukan mudah tetapi bukan mustahil. Pada pemimpin-pemimpin lain juga, saya mengharapkan sedikit sebanyak kita dapat merubah diri kita kerana kita cermin pada rakyat dan masyarakat. Jika buruk contoh, maka buruklah pengikutnya.


InsyaAllah, sedikit masa lagi saya akan membuat perjumpaan dengan wakil-wakil siswi fakulti untuk membincangkan hala tuju siswi UniSZA dan sebarang kebajikan mahasiswi yang perlu diangkat dan diketengahkan pada pihak pengurusan. Ketika saya menjawat jawatan MPP pada sesi lepas 2009/2010, MPP ketika itu memperjuangkan baju orientasi dan baju koko berlengan panjang. Alhamdulillah, berkat kesungguhan para pemimpin UniSZA dari Fakulti Kontemporari Islam dan sahabat seperjuangan MPP lepas, saudari Sharifah Nurul Ikhlas Syed Husin..akhirnya baju orientasi kali ini berlengan panjang. Sedikit sebanyak kita menyedari jika kita bersatu suara kita akan didengari oleh pihak pentadbiran. Lantaran itu, keharmonian suasana “islamic” yang tenang ini amat diharap dapat dikekalkan selama yang boleh. Persekitaran yang kondusif dan memberansangkan akan menjamin proses pembelajaran yang berkesan dan efektif. Akhir kata dari saya semoga mahasiswi UniSZA peka dengan masalah sosial yang meruncing dalam kalangan kita dan mahasiswa terus menjaga martabat dan kehormatan siswi.


Untuk perkembangan MPP seterusnya, exco-exco saya akan terus melaporkan perkembangan dari segi kebajikan dan aktiviti kami untuk tatapan mahasiswa semua. Nantikan post seterusnya.

“Mahasiswa Pemangkin Inspirasi Bersama”

Nur Raihanah Binti Mohd Rozaimi
Timbalan Presiden ll
MPP UniSZA.